Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

14.12.16 JERAYAWARA DAERAH TUTONG PROSEDUR IMPORT DAN EKSPORT MPRT

KENYATAAN AKHBAR

 

JERAYAWARA KESEDARAN AWAM

MENGENAI PROSEDUR PENGIMPORTAN/PENGEKSPORTAN KOMODITI PERTANIAN DAN PERIKANAN  DI BAWAH KAWALAN KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN BAGI DAERAH TUTONG

14 Rabiulawal 1438H /14 Disember 2016,

Dewan Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong

Jerayawara kesedaran awam mengenai prosedur pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan di bawah kawalan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah dilaratkan ke daerah-daerah lain.  Pada 14 Disember 2016, pegawai-pegawai daripada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancong telah memberikan penerangan kepada orang ramai, khususnya para pengusaha, pengimport dan pengeksport di Daerah Tutong. Jerayawara tersebut adalah penerangan tentang prosedur dan peraturan mengimport dan mengeksport komoditi-komoditi pertanian dan perikanan termasuklah bahan-bahan yang berkaitan dengannya seperti baja, racun kimia pertanian, makanan ternakan dan yang sebagainya.

 

Taklimat-taklimat yang disampaikan semasa jerayawara ini akan dapat  menyerapkan dan memberigakan dengan jelas tentang tatacara pengimportan dan pengeksportan seperti prosedur permohonan permit atau lesen import dan eksport. Ianya juga diharap akan dapat memberikan kefahaman tentang kepentingan mematuhi syarat-syarat yang perlu bagi memudahcara urusan pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan secara persendirian atau komersil. Selain itu, jerayawara juga bertujuan untuk mengurangkan kes-kes ketidak-patuhan dalam proses import dan eksport sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, dan Jabatan Perikanan; yang mana kes-kes sedemikian pernah didapati terjadi di pos-pos kawalan darat, lapangan terbang, pelabuhan dan melalui mel udara.

 

Syarat-syarat import dan eksport bagi komoditi-komoditi pertanian dan perikanan yang disediakan adalah berpandukan kepada langkah-langkah Sanitary and Phytosanitary (SPS) antarabangsa yang telah ditetapkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti World Organisation for Animal Health (OIE), International Plant Protection Convention (IPPC) dan CODEX Alimentarius. Taklimat-taklimat yang disampaikan adalah khusus bagi orang ramai terutamanya kepada pengusaha-pengusaha tempatan, syarikat-syarikat pengimport dan pengeksport komersial serta agensi-agensi penguatkuasaan yang bertugas di pos-pos kawalan rentas sempadan.

 

Seperti jua di Daerah Brunei Muara, taklimat meliputi kepentingan untuk mendapatkan Sijil Kesihatan Haiwan (Veterinary Health Certificate) dan Sijil Fitosanitari atau Sijil Kesihatan Tumbuhan (Phytosanitary Certificate) daripada pihak-pihak yang berwajib di negara-negara pengeksport. Dokumen berkenaan merupakan pengesahan atau jaminan daripada Negara Pengeksport bahawa komoditi pertanian atau perikanan yang di eksport ke Negara Brunei Darussalam adalah selamat dan bebas daripada sebarang penyakit, agen pembawa penyakit atau musuh perosak tumbuhan. Selain daripada permit atau lesen import, dokumen ini juga sangat penting untuk disertakan semasa mengisytiharkan komoditi pertanian dan perikanan yang di import di pos-pos kawalan.

 

Bagi pengeksportan komoditi-komoditi  perikanan syarikat-syarikat pengeksport perlulah juga mengetahui keperluan-keperluan negara-negara  pengimport untuk dipatuhi seperti keperluan sijil kesihatan.

 

Taklimat juga menjelaskan bahawa kuantiti kemasukkan pengimportan komoditi-komoditi pertanian dan perikanan bagi pengimport komersil adalah tidak terhad. Manakala kuantiti pengimportan persendirian adalah tertakluk kepada syarat-syarat import yang telah ditetapkan oleh Jabatan-Jabatan di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

 

Kepentingan untuk mendapatkan permit atau lesen import dan eksport adalah bagi memudahcara proses kemasukkan dan pengeluaran komoditi-komoditi pertanian dan perikanan melalui pos-pos kawalan di Negara ini, yang memerlukan pemeriksaan dengan lebih bersistematik dan efisien daripada agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan. Ini adalah bagi memastikan tahap keselamatan komoditi atau barangan yang diimport dan dieksport adalah terbukti selamat untuk digunakan, bebas dari sebarang penyakit, agen-agen pembawa penyakit, musuh perosak, dan seterusnya akan melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna dan orang awam, termasuk kesejahteraan alam sekitar. Pemeriksaan yang dilaksanakan juga bertujuan untuk melindungi industri-industri pertanian dan perikanan tempatan serta luar negara daripada ancaman penyakit, agen-agen pembawa penyakit atau musuh perosak yang diperolehi daripada komoditi-komoditi import dan eksport.

 

Secara amnya, permit atau lesen import akan dikeluarkan tertakluk kepada jenis komoditi atau barangan yang akan diimport dan tujuan pengimportannya, secara persendirian atau komersil. Bagi pengimportan komoditi pertanian dan perikanan secara komersil, proses permohonan permit atau lesen import boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan BDNSW (Brunei Darussalam National Single Window) dengan melayari laman sesawang di www.bdnsw.gov.bn. Manakala bagi pengimportan dan pengeksportan persendirian komoditi pertanian dan perikanan serta pengeksportan secara komersial komoditi perikanan orang ramai bolehlah memohon permit dan lesen eksport melalui kaedah online di http://biz.bruneimipr.gov.bn/eMIPR atau melayari laman sesawang www.mprt.gov.bn. Dokumen-dokumen bagi permit atau lesen import dan eksport yang telah diluluskan akan dikeluarkan oleh pihak agensi-gensi kerajaan yang berkenaan dan orang ramai bolehlah mengambilnya ditempat-tempat yang telah disediakan serta menjelaskan kadar bayaran yang telah ditetapkan.

 

Jerayawara yang telah diadakan di Dewan Rumah Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong pada hari Rabu, 14 Rabiulawal 1438H bersamaan dengan 14 Disember  2016 itu telah di hadiri oleh para pengusaha-pengusaha pertanian dan perikanan khususnya para pengusaha pengimport dan pengeksport yang menetap di Daerah Tutong serta wakil-wakil dari Jabatan-Jabatan Kerajaan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan ahli-ahli daripada Persatuan Majlis Perundingan Kampong (MPK) di Daerah Tutong. Insya Allah, Jerawayara ini akan dilaratkan ke daerah seterusnya pada masa terdekat ini.

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

14 Rabiulawal1438H / 14 Disember 2016

 

​ Related links

http://mediapermata.com.bn/

Attachments