Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions

17.01.2017_JERAYAWARA PROSEDUR AWAM IMPORT DAN EKSPORT MPRT

KENYATAAN AKHBAR

 

JERAYAWARA KESEDARAN AWAM

MENGENAI PROSEDUR PENGIMPORTAN/PENGEKSPORTAN KOMODITI PERTANIAN,  PERIKANAN DAN PERHUTANAN  DI BAWAH KAWALAN KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN BAGI DAERAH BELAIT

19 RABIULAKHIR 1438H /17 JANUARI 2017,

Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Belait

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah melaratkan lagi jerayawara kesedaran awam mengenai prosedur pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan dan kali ini ianya diadakan di Daerah Belait seperti yang telah dilaksanakan di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong sebelum ini. Jerayawara diadakan pada 17 Januari 2017, yang mana taklimat serta penerangan telah diberikan oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancong kepada orang ramai, khususnya para pengusaha, pengimport dan pengeksport di Daerah Belait. Jerayawara tersebut banyak memberikan penerangan tentang prosedur dan peraturan mengimport serta mengeksport komoditi-komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan termasuklah bahan-bahan yang berkaitan dengannya seperti baja, racun kimia pertanian, makanan ternakan, produk-produk perikanan, produk-produk perhutanan dan yang sebagainya.

 

Jerayawara yang diungkayahkan diharap akan dapat menyerapkan dan memberigakan dengan jelas tentang tatacara pengimportan dan pengeksportan seperti prosedur permohonan permit atau lesen import dan eksport. Ianya juga diharap akan dapat menambah kefahaman tentang betapa pentingnya mematuhi syarat-syarat yang telah disediakan oleh kerajaan bagi memudahcara urusan pengimportan dan pengeksportan komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan samaada secara persendirian ataupun komersil. Selain itu, jerayawara juga bertujuan untuk mengurangkan kes-kes ketidakpatuhan dalam proses import dan eksport komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan terutama kes-kes seperti yang pernah terjadi di pos-pos kawalan darat, lapangan terbang, pelabuhan dan melalui mel udara.

 

Syarat-syarat import dan eksport bagi komoditi-komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan yang diterangkan tersebut adalah berpandukan kepada langkah-langkah Sanitary and Phytosanitary (SPS) antarabangsa yang telah ditetapkan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti World Organisation for Animal Health (OIE), International Plant Protection Convention (IPPC) dan CODEX Alimentarius. Penerangan yang disampaikan adalah dikhususkan kepada orang ramai terutamanya kepada pengusaha-pengusaha tempatan, syarikat-syarikat pengimport dan pengeksport komersial serta agensi-agensi penguatkuasaan yang bertugas di pos-pos kawalan rentas sempadan.

 

Taklimat juga menjelaskan bahawa kuantiti pengimportan serta pengeksportan komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan adalah tertakluk kepada syarat-syarat import dan eksport yang telah ditetapkan oleh Jabatan-Jabatan yang terlibat di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Seperti jua di Daerah Brunei Muara dan Daerah Tutong, taklimat meliputi kepentingan untuk mendapatkan Sijil Kesihatan Haiwan (Veterinary Health Certificate) dan Sijil Fitosanitari atau Sijil Kesihatan Tumbuhan (Phytosanitary Certificate) daripada pihak-pihak yang berwajib di negara-negara pengeksport. Dokumen berkenaan merupakan pengesahan atau jaminan daripada Negara Pengeksport bahawa komoditi pertanian, perikanan atau perhutanan yang di eksport ke Negara Brunei Darussalam adalah selamat dan bebas daripada sebarang penyakit, agen pembawa penyakit atau musuh perosak tumbuhan. Selain daripada permit atau lesen import, dokumen ini juga sangat penting untuk disertakan semasa mengisytiharkan komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan yang di import melalui pos-pos kawalan.

 

Langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dalam menyediakan syarat-syarat pengimportan adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan bagi orang ramai serta memastikan tiada ancaman-ancaman negatif terhadap industri pengeluaran komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan tempatan.  Ancaman-acaman seperti penyakit tumbuhan atau haiwan, agen-agen pembawa penyakit atau musuh perosak yang diperolehi daripada komoditi-komoditi yang diimport. Salah satu langkah yang dimaksudkan adalah kepentingan untuk mendapatkan permit atau lesen import dan eksport bagi memudahcara proses kemasukkan dan pengeluaran komoditi-komoditi pertanian, perikanan serta perhutanan melalui pos-pos kawalan di Negara ini. Bagi mendapatkan kebenaran masuk ke Negara Brunei Darussalam juga, pemeriksaan di pos-pos kawalan yang lebih bersistematik dan efisien dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang berkaitan.

 

Secara amnya, permit atau lesen import akan dikeluarkan tertakluk kepada jenis komoditi atau barangan yang akan diimport dan tujuan pengimportannya, secara persendirian atau komersil. Bagi pengimportan komoditi pertanian, perikanan dan perhutanan secara komersil, proses permohonan permit atau lesen import boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan online  BDNSW (Brunei Darussalam National Single Window) dengan melayari laman sesawang di www.bdnsw.gov.bn. Bagi pengimportan dan pengeksportan persendirian komoditi pertanian dan perikanan serta pengeksportan secara komersial komoditi perikanan orang ramai bolehlah memohon permit dan lesen eksport melalui kaedah online di http://biz.bruneimipr.gov.bn/eMIPR atau melayari laman sesawang www.mprt.gov.bn. Manakala, bagi pengimportan untuk persendirian dan pengeksportan produk perhutanan (samada untuk persendirian atau komersil), orang ramai boleh memohon permit melalui kaunter Permit & Lesen di Tingkat 2, Ibu Pejabat Perhutanan, di Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Dokumen-dokumen bagi permit atau lesen import dan eksport yang telah diluluskan akan dikeluarkan oleh pihak agensi-gensi kerajaan yang berkenaan dan orang ramai bolehlah mengambilnya ditempat-tempat yang telah disediakan serta menjelaskan kadar bayaran yang telah ditetapkan.

 

Jerayawara yang telah diadakan di Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Belait pada hari Selasa, 19 Rabiulakhir 1438H bersamaan dengan 17 Januari 2017 itu telah di hadiri oleh para pengusaha-pengusaha pertanian, perikanan dan perhutanan khususnya para pengusaha pengimport dan pengeksport yang menetap di Daerah Belait serta wakil-wakil dari Jabatan-Jabatan Kerajaan, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan ahli-ahli daripada Persatuan Majlis Perundingan Kampong (MPK) di Daerah Belait. Insya Allah, Jerawayara ini akan dilaratkan ke Daerah Temburong pada masa terdekat.

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

19 Rabiulakhir 1438H / 17 Januari 2017

Attachments