Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions

LAWATAN KERJA MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN KE KAWASAN KEMAJUAN PERTANIAN (KKP) DAN LADANG SEDIA ADA (LSA) DAERAH BELAIT TARIKH: 20 Mei 2017

KENYATAAN AKHBAR

 

LAWATAN KERJA MENTERI SUMBER-SUMBER UTAMA

DAN PELANCONGAN

KE KAWASAN KEMAJUAN PERTANIAN (KKP) DAN

LADANG SEDIA ADA (LSA) DAERAH BELAIT

 

TARIKH: 20 Mei 2017

 

 

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah membuat lawatan kerja ke Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) dan Ladang Sedia Ada (LSA) dan tapak perkilangan papan yang masing-masing mengusahakan ladang pertanian, perikanan dan penghasilan produk perkayuan yang terdapat di Daerah Belait pada hari Sabtu, 20hb Mei 2017. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara iaitu Yang Berhormat Awg Haji Umarali Bin Esung, Yang Berhormat Awg Haji Abd Hamid bin Mumin dan yang Berhormat Awg Hanapi bin Mohd Siput.

 

Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai kemajuan peladang dan pengusaha pertanian, perikanan dan perhutanan khususnya di Mukim Labi dan Sungai Liang Daerah Belait disamping mengenalpasti masalah pengusaha-pengusaha dalam memajukan industri-industri pertanian, perikanan dan perhutanan secara komersial sebagai sumber ekonomi pengusaha-pengusaha berkenaan dan seterusnya untuk mempelbagai ekonomi negara ke arah pasaran eksport.

 

Ladang kolam udang air tawar yang menjadi tumpuan lawatan di Mukim Labi adalah Syarikat Usaha Tani Deli Duman, milik Dyg Aliyah Rahagi binti Mohammad Deli @ Rahagi Deli di Kampong Rampayoh. Ladang seluas 5 ha, mula diusahakan pada tahun 1994 bagi ternakan Udang Air Tawar (Giant Freshwater Prawn) / Udang Galah (Macrobrachium rosenbergii). Penghasilan ladang ini telah mencapai 1.0 -1.5 metrik tan sehektar setahun.

 

Bagi mengetahui kemajuan pengeluaran telur ayam di Daerah Belait, lawatan seterusnya ialah ke ladang ternakan ayam penelur Golden Chick Livestock Farm milik Awg Ong Chek Thiam di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Sungai Petai. Ladang ini mula dimajukan pada tahun 2015 dengan kaedah teknologi tinggi sistem reban tertutup. Penternakan ayam penelur dengan sistem ini menghasilkan produktiviti yang lebih tinggi kerana kapasiti sebuah reban boleh memuatkan 26,000 ekor ayam berbanding reban ayam konvensional. Dengan suhu reban yang terkawal dan kawalan penyakit yang lebih baik akan menjamin penghasilan kualiti dan kuantiti telur ayam segar di Negara ini disamping membuka peluang pasaran yang lebih besar dan menjurus kepada pasaran eksport. Pada suku tahun pertama 2017, syarikat ini telah mencatit hasil pengeluaran telur ayam segar sebanyak 10,220,318 biji.

 

Syarikat Kilang Papan Maju Sdn Bhd milik Dato Paduka Awg Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny yang terletak di Kilometer 8 Jalan Labi, merupakan sebuah kilang papan yang menghasilkan produk prima dan juga hiliran / nilai tambah perkayuan. Kilang ini telah ditubuhkan pada tahun 1965 di atas tanah dalam kawasan Hutan Simpan Andulau dengan keluasan tapak 10 ekar. Selain daripada penghasilan produk prima kayu gergaji, syarikat ini juga mampu mengeluarkan dan menghasilkan produk-produk perkayuan hiliran dan bernilai tambah seperti planed sawntimber, panel-panel dinding kayu, pintu-pintu kayu, bingkai pintu dan jendela dan komponen-komponen perabot. Syarikat ini juga memaksimakan penggunaan sumber kayu dengan menghasilkan kayu tatal (woodchips). Pada tahun 2016, syarikat ini telah menghasilkan 3,962.78 meter padu (m3) kayu gergaji dan 1,226.71 m3 produk hiliran / nilai tambah. Manakala, sehingga suku tahun pertama 2017, syarikat ini telah menghasilkan 396.60 m3 kayu gergaji dan 319.64 m3 produk hiliran / nilai tambah.

 

Lawatan seterusnya ialah ke ladang Syarikat Kanglin Hidroponik Farming milik Awg Hj Muliadi bin Moksin di KKP Sungai Liang. Ladang yang berkeluasan 2.0 hektar ini diusahakan dengan tanaman sayur-sayuran dengan menggunakan sistem hidroponik. Ladang ini telah menghasilkan sayur-sayuran sebanyak 57.04 metrik tan pada tahun 2016. Untuk menambah lagi pendapatan, syarikat ini juga menanam pokok buah-buahan dan pelbagai tanaman yang mengeluarkan hasil sebanyak 14.65 metrik tan pada tahun 2016. Hasil-hasil ladang dipasarkan ke pasaraya Supasave, Soon Lee, Hua Ho dan Giant.

 

Lawatan diteruskan ke ladang ternakan kambing Syarikat Brugoat Farming and Trading Sdn Bhd milik Dyg Hajah Rozemah binti Haji lsmail yang terletak di Kampong Gana, Sungai Liang. Syarikat ini mula bergiat dalam penternakan kambing untuk pembiak bakaan pada tahun 2015 di atas tapak EDR di Lot 3388, Spg 1150, Kampong Gana Sungai Liang seluas 2.10 ha. Menggunakan sistem pemeliharaan intensif (cut & carry), ternakan diberi makan rumput jenis Napier dan Para. Jumlah kandang di ladang ini sebanyak 8 buah yang berkapasiti 1,800 ekor. Belum ada hasil pengeluaran pada tahun 2016 kerana ternakan kambing masih dalam proses pembiakkan. Stok ternakan pada masa ini adalah sebanyak 707 ekor kambing jenis Boer dan 1,182 ekor kambing biri-biri jenis Dorper.

 

Syarikat Wong Garden milik Awg Wong Leong Swee yang mengusahakan tanaman hiasan di Kampong Tunggulian Sungai Liang juga turut termasuk dalam siri lawatan kerja ini. Perusahaan ini dijalankan di atas tapak seluas 1.31 hektar merupakan pengeluar terbesar bunga keratan jenis Orkid, Anthurium, Red Ginger dan Heliconia di Daerah Belait. Hasil pengeluaran ladang ini pada tahun 2016 ialah Orkid sebanyak 94,200 keratan, Anthurium sebanyak 636 keratan, Red Ginger sebanyak 7,390 keratan dan Heliconia 615 keratan. Saluran pasaran bagi produk ini ialah pasar Belait dan Seria, pasaraya Supa Save Seria dan juga melalui orang tengah untuk dibekalkan ke lstana. Syarikat ini adalah pemenang Anugerah Peladang, Petani & Penternak Innovatif 2011.

 

Lawatan kerja berakhir di Asia Enterprise Agri-Mart Sdn Bhd milik Awg Chai Yum Fatt bertempat di Kampong Tunggulian, Sungai Liang. Syarikat ini telah bergiat dalam mengedar dan menjual bahan-bahan pertanian sejak tahun 1997 di atas tapak seluas 2.50 hektar. Dengan adanya perkhidmatan ini, para peladang dan orang ramai boleh membuat pilihan untuk mendapatkan bekalan biji benih, bahan input pertanian seperti baja kimia, peralatan ladang dan sebagainya untuk memudahkan kegiatan pertanian mereka secara berterusan. Hasil pendapatan syarikat pada tahun 2016 berjumlah B$1.20 juta.

​Related News :

www.mediapermata.com.bn

Attachments