Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS MENGATAM PADI VARIETI SEMBADA188 DAN PENYERAHAN BERAS SEMBADA188 KEPADA PASARAYA

MAJLIS MENGATAM PADI VARIETI SEMBADA188

DAN PENYERAHAN BERAS SEMBADA188 KEPADA PASARAYA

 

Hari Sabtu, 14 Muharram 1441H bersamaan 14 September 2019

Kg Wasan, Daerah Brunei-Muara

 

 

Pada tanggal 29hb Oktober 2018, Negara Brunei Darussalam telah melakar sejarah dan detik penting dalam industri padi dan beras bagi Negara ini dimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi dikenali sebagai Sembada188 di Kawasan Kemajuan Pertanian  Wasan, Mukim Pengkalan Batu.  Varieti padi hibrid ini berpotensi menghasilkan 6 tan metrik sehektar semusim berbanding dengan varieti-varieti sebelumnya yang hanya mampu yang menghasilkan 3 tan metrik sehektar semusim.

 

Kemudian, pada tanggal 12hb. Februari 2019, Negara Brunei Darussalam juga telah melakar sejarah dan detik penting dalam industri padi dan beras bagi Negara ini dimana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan pula berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Mengatam Varieti Padi Jenis Hibrid Sembada188 Di Kawasan Kemajuan Pertanian Kampung Wasan. Padi yang dikatam oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tanggal tersebut adalah padi yang Baginda telah tanam sendiri pada tanggal 29hb Oktober 2018, dan adalah merupakan penuaian dan penghasilan yang pertama Varieti Padi Jenis Hibrid Sembada188 dari ladang-ladang yang diusahakan secara komersil di Negara ini.    

 

Berikutan dengan Majlis Perasmian Penanaman Varieti Padi Hibrid Berhasil Tinggi dikenali sebagai Sembada188 yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tanggal 29hb Oktober 2018, dan juga berikutan dengan Majlis Mengatam Varieti Padi Jenis Hibrid Sembada188 pada 12 Februari 2019 yang lalu, pengusaha-pengusaha padi di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan telah menanam varieti padi Sembada188 secara meluas pada musim ke-dua penanaman yang telah telah bermula pada bulan Mei tahun 2019 ini.

 

Pada hari ini, 14hb. September 2019, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan mengadakan Majlis Mengatam Padi Varieti Sembada188 buat musim kedua penanaman padi. Majlis Mengatam Padi Varieti Sembada188 tersebut diadakan di Lot 69, Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan yang diusahakan oleh Syarikat M.S.P. Jaya Trading Company.

 

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan Majlis Mengatam Padi Varieti Sembada188 bagi musim penanaman kedua ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan. Turut hadir ke Majlis tersebut ialah Yang Berhormat Haji Mohaimin bin Haji Johari @ Jahari, Ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Zon 5, Daerah Brunei Muara yang juga selaku Ketua Kampong Limau Manis; Yang Mulia Awang Abdul Halidi bin Mohd Salleh, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Hajah Aidah Binti Haji Mohd Hanifah, Pengarah Pertanian dan Agrimakanan; pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta Ketua-Ketua Ladang Padi di Kawasan Kemajuan Pertanian Wasan.

 

Majlis Mengatam Padi Varieti Sembada188 bagi musim penanaman kedua ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang oleh Yang Mulia Awang Ilmami bin Haji Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid. Seterusnya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dijemput untuk menaiki jentera penuai padi (Combine Harvester), bagi memulakan acara mengatam di ladang tersebut.

 

Sebaik sahaja Majlis Mengatam Padi Varieti Sembada188 selesai dijalankan, Tetamu Kehormat Majlis berserta dengan semua jemputan-jemputan yang hadir di bawa beredar ke Kompleks Pemprosesan Padi dan Beras, Wasan bagi menyaksikan proses pengisaran padi. Ini diikuti kemudiannya dengan Majlis Penyerahan Beras Sembada188 kepada pasaraya-pasaraya yang telah dilantik oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, melalui tawaran terbuka, sebagai agen pemasaran dan pengedar Beras Sembada188 di pasaraya-pasaraya di negara ini. Pada Majlis tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah menyerahkan beras-beras Sembada 188 kepada:

 

  • Yang Mulia, Awang Steven Chai Ming Fui, Wakil Pengarah Urusan Soon Lee Megamart;

 

  • Yang Mulia, Awang Lau How Teck, Pengarah Urusan Hua Ho Department Store;

 

  • Yang Mulia, Awang Yong Chee Seng, Pengarah Urusan First Emporium and Supermarket;

 

  • Yang Mulia, Awang Haji Osman bin Ahad, Pengurus Syarikat Nadi Utama Minimart; dan

 

  • Yang Mulia, Dayang Lee Hui Jin, wakil bagi Pengarah Urusan Guanin Company.

 

Pasaraya-pasaraya dan pengedar-pengedar yang dilantik telah menandatangani Kontrak Perjanjian bersama dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan untuk memasarkan dan mengedarkan bekalan Beras Sembada188 atau mana-mana beras tempatan yang dikeluarkan oleh Kompleks Pemprosesan Padi dan Beras dibawah Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, tertakluk kepada ketersediaan stok dan jenis beras yang dihasilkan. Orang ramai yang berminat untuk membeli beras-beras berkenaan bolehlah berkunjung terus ke pasaraya-pasaraya yang dilantik untuk mendapatkannya.

 

Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan secara berterusan akan berusaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi memenuhi keperluan penduduk Negara Brunei Darussalam.

 

/TAMAT.

 

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan

 

Tarikh Dikerluarkan:

14 Muharram 1441 / 14 September 2019

 


​Related link:

www.mediapermata.com.bn

Attachments