Bagi Industri
agrimakanan, kemudahan yang diperuntukkan di dalam SIPA adalah penyewaan bangunan
termasuk fasiliti-fasiliti yang terdapat di dalam Inkubator Makanan Perusahaan
Kecil (IMPK). Tujuan skim ini adalah untuk membantu para pengusaha makanan mikro dan kecil bagi meningkatkan pengeluaran
hasil produk agrimakanan yang berkualiti untuk pasaran.
Objektif
Mempercepatkan proses pemindahan teknologi pengeluaran
produk agrimakanan dan mengurangkan kos pengeluaran bagi menghasilkan produk
yang berkualiti, selamat dan terjamin halal serta kompetitif bagi pasaran
tempatan dan eksport.
Kategori Insentif
Kategori insentif yang terdapat dalam Skim Keperluan
Khusus - Industri Agrimakanan ialah seperti berikut:
1. Penyewaan
bangunan termasuk fasiliti-fasiliti yang terdapat di dalam Inkubator Makanan
Perusahaan Kecil (IMPK)
2. Perkhidmatan
dokongan teknikal melalui khidmat nasihat pembangunan produk, pemindahan
teknologi, membangunkan label produk, panel nutrien dan penentuan tempoh simpan
melalui pensampelan dan penghantaran produk untuk analisa; menjalankan lawatan
serta memberikan latihan, kursus dan bengkel.
Penyewaan
bangunan termasuk fasiliti-fasiliti yang terdapat di dalam Inkubator Makanan
Perusahaan Kecil (IMPK)
Bangunan IMPK terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian
Brunei, Kilanas merupakan sebuah inkubator berskala kecil (dapur) yang
mempunyai fasiliti pemprosesan yang moden dengan menawarkan kadar sewa yang
berpatutan, latihan bagi menghasilkan produk agrimakanan dan tempat menjalankan
analisa fizikal bagi mengawal kualiti produk.
Garispanduan penyewaan dan
kadar sewa IMPK secara insentif adalah seperti berikut:
- Bayaran Pendaftaran (sekali sahaja) sebanyak
B$50.00.
- Penyewaan bangunan dan penggunaan fasiliti IMPK
dibenarkan beroperasi dari jam 7.45 pagi hingga 4.30 petang dalam jangka masa 8 jam 45 minit pada
waktu hari bekerja dengan kadar sewa B$70.00 sehari. Bayaran sewa
hendaklah dijelaskan sebelum menggunakan fasiliti pada hari penyewaan.
- Tempoh penyewaan ialah minima 1 hari bagi setiap
pengusaha.
- Tempahan penyewaan hendaklah dipohonkan kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan
dalam masa tujuh (7) hari sebelum tarikh penyewaan.
- Pembatalan
penyewaan hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan
tiga (3) hari sebelum tarikh penyewaan.
- Bayaran
bagi ganti rugi akan dikenakan jika berlaku kerosakan mesin-mesin dan peralatan
atas kecuaian penyewa, berdasarkan kos baik pulih mesin/peralatan
berkenaan termasuk bahagian peralatan mesin yang dicuci bersih oleh
penyewa, kecuali mesin dan peralatan yang dikendalikan oleh penggendali.
- Denda akan dikenakan jika
didapati tidak mematuhi syarat kebersihan sebanyak B$50.00.
Syarat – syarat kelayakan bagi memohon menggunakan IMPK
adalah seperti dalam keterangan Bab 4 (syarat-syarat mendapatkan Skim Keperluan
khusus – Industri Agrimakanan).
Perkhidmatan dokongan teknikal melalui khidmat nasihat
pembangunan teknikal, pensampelan dan penghantaran produk untuk analisa,
latihan kursus dan bengkel serta lawatan
Unit di bawah Seksyen Kemajuan Industri Agrimakanan dan
Pasaran, Bahagian Industri Agrimakanan dan Pengurusan Akses Pasaran sedang giat
melaksanakan program peningkatan kapasiti dan teknologi pengeluaran produk tambah
nilai (value-added) dan proses lanjut (further process) melalui
perkhidmatan:
- Khidmat nasihat.
- Menjalankan lawatan ke premis
pengeluaran produk.
- Pemindahan teknologi
pemprosesan dan pembungkusan.
- Menjalankan analisa fizikal
dan interpretasi keputusan analisa.
- Membangunkan label produk,
panel nutrien dan penentuan jangka tempoh simpan melalui pensampelan,
penghantaran produk untuk dianalisa dan menjalankan interpretasi keputusan
analisa.
- Memberikan latihan, kursus
dan bengkel serta nasihat dan konsultansi mengenai pelan perniagaan dan
pemasaran, teknologi pemprosesan dan pembungkusan, jangka tempoh simpan dan
amalan perkilangan yang baik (Good Manufacturing Practices).
Syarat-syarat
bagi permohonan Skim Keperluan Khusus - Industri Agrimakanan
- Pemohon mestilah berdaftar dengan Jabatan Pertanian dan
Agrimakanan melalui Unit Pengembangan Industri Agrimakanan dengan mengisikan borang
pendaftaran pengusaha Pertanian dan Agrimakanan (Borang A) dengan lengkap.
- Mempunyai Sijil Pendaftaran Perniagaan atau Sijil
Perakuan Penubuhan Syarikat Persendirian atau Sijil Pendaftaran Koperasi
daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Sijil Pendaftaran Persatuan (NGOs)
daripada Pasukan Polis Diraja Brunei; atau Sijil Pendaftaran Majlis Perundingan
Mukim (MPM) / Majlis Perundingan Kampung (MPK) daripada pihak Kementerian Hal
Ehwal Dalam Negeri, dan di dalam aktiviti perniagaan/ perusahaan hendaklah
mengandungi kegiatan agrimakanan.
- Pengusaha yang memohon hendaklah menghantar Borang Data
Penghasilan Produk Tambah Nilai setiap bulan kepada Unit Pengembangan Industri Agrimakanan, Bahagian Industri Agrimakanan dan
Pengurusan Akses Pasaran.
Bagi maklumat lanjut tentang tatacara permohonan Insentif Keperluan Khusus (Industri Agrimakanan), pemohon boleh menghubungi Unit Pengurusan Maklumat dan SIPA melalui emel sipa@agriculture.gov.bn